Perutusan Pengarah KKMG

Berkat usaha gigih semua kakitangan maka pada hari ini terbinalah laman web Kolej Komuniti Mas Gading. Diharapkan laman web ini akan dapat memberi info-info berguna kepada semua pengunjungnya khususnya berkaitan Kolej Komuniti Mas Gading.

Perubahan dunia komunikasi yang semakin canggih membolehkan kita mengakses maklumat terkini dengan cara yang lebih mudah. Walaubagaimana pun sekiranya maklumat tersebut tidak disediakan atau disediakan dengan cara yang betul maka penyaluran maklumat itu tidak akan bermakna malah mungkin memudaratkan. Oleh itu dengan adanya laman web rasmi sebegini maka para pengunjung boleh mendapatkan maklumat terkini, betul dan boleh dipercayai.

Laman web ini juga akan menjadi salah satu media utama kami untuk memperkenalkan Kolej Komuniti Mas Gading kepada masyarakat setempat mahupun seluruh negara. Masyarakat setempat yang ingin mengetahui aktiviti-aktiviti yang dirancang atau ingin mengemukakan persoalan bolehlah menyalurkannya terus melalui laman web ini. Dengan cara ini segala maklumat yang ingin disebarkan serta jawapan kepada persoalan tersebut dapat disalurkan dengan sepantas mungkin.

Laman web ini akan sentiasa dikemaskini bagi membolehkan pengunjung mengetahui aktiviti-aktiviti yang telah, sedang dan akan dilaksanakan oleh Kolej Komuniti Mas Gading. Diantara maklumat aktiviti yang akan disalurkan ialah jadual pelaksanaan kursus pendek, jadual latihan-latihan kemahiran, jadual perjalanan kursus sepenuh masa serta tarikh-tarikh penting sesuatu event yang akan di jalankan oleh kolej ini.

Adalah menjadi harapan saya laman web ini boleh dimanfaatkan oleh semua orang tidak kira warga Kolej Komuniti Mas Gading mahupun komuniti luar dengan sebaik mungkin.

------
TS SHIRLEY ANAK PHILLIP
PENGARAH
KOLEJ KOMUNITI MAS GADING
BAU, SARAWAK.